header

header
hairie

Tragedi bas ekspres

| Tuesday, 14 April 2009
Awal pagi ini enam terbunuh dalam kemalangan yang melibatkan sebuah bas ekspres dua tingkat di Kilometer 443, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Rawang.

Kejadian itu menimbulkan persoalan mengenai tahap penguatkuasaan peraturan jalan raya di negara ini sekali gus mengabaikan keselamatan penumpang kenderaan awam.

Dalam kes terbaru, kedua-dua pemandu yang bertanggungjawab menjaga nyawa 33 penumpang sepanjang perjalanan dari Changlun, Kedah ke Kuala Lumpur itu mempunyai kesalahan lalu lintas yang serius.

Siasatan awal polis trafik mendapati pemandu kedua yang memandu ketika kemalangan memiliki lapan saman - kesemuanya atas kesalahan memandu laju sejak 2002.

Manakala pemandu pertama, antara mangsa yang terbunuh, mempunyai enam saman dan lima waran tangkap atas kesalahan yang sama.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof.

Kemalangan ngeri pukul 5 pagi ketika sebahagian besar mangsa sedang lena itu meragut nyawa lima penumpang bas berkenaan selain pemandu pertamanya turut terkorban.

Sementara pemandu kedua, Fauzi Mohamad, 30-an yang memandu bas dua tingkat berkenaan semasa kejadian dan seorang penumpang wanita cedera.

Kesemua penumpang yang terbunuh berada di tingkat bawah bas iaitu Muhamad Ismail, 27, dari Kampung Lubuk Batu, Jitra, Kedah; Mohamad Fauzi Awang, 44, dari Kampung Siam, Alor Setar dan Md. Zaher Mohamad, 33, dari Kodiang, Kedah.

Dua lagi penumpang ialah Mohd Yusril Zakaria, 27, dari Kuala Muda, Kedah; C. Magenthiran, 26, dari Klang, Selangor dan pemandu pertama bas tersebut, Zulkhibri Md. Saad, 35, dari Kubang Ulu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang ketika kejadian sedang tidur di belakang tempat duduk pemandu.

Kejadian berlaku ketika bas ekspres milik AB Express itu dalam perjalanan dari Changlun, Kedah, menghala ke ibu negara.

Abdul Aziz berkata, semasa tiba di lokasi tersebut, bas itu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pembahagi lebuh raya di sebelah kanan mengakibatkan sebahagian daripada besi penghadang sepanjang 60 meter itu terperosok memasuki tingkat bawah bas itu.

Tambahnya, bas berkenaan kemudian hilang kawalan sebelum terbalik ke kiri lebuh raya sejauh 20 meter dari lokasi rempuhan tersebut.

“Salah seorang daripada penumpang yang maut turut tercampak ke laluan bertentangan akibat rempuhan kuat. Kita percaya bas itu dipandu laju sehingga gagal dikawal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Difahamkan, sebahagian mangsa terbunuh dalam kemalangan itu disebabkan tertusuk sebahagian besi penghadang yang memasuki ‘perut’ bas berkenaan.

Abdul Aziz berkata, kesemua mangsa yang terbunuh dan cedera telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi bedah siasat dan rawatan lanjut.

Sementara itu, operasi menyelamatkan mangsa melibatkan kira-kira 80 anggota daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk pasukan polis, bomba dan penyelamat serta peronda PLUS Expressway Berhad.

Tambah Abdul Aziz, pihaknya kini menahan pemandu kedua bas ekspres terbabit yang masih dirawat di hospital untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Dalam pada itu, Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Rawang, Zahinor Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.10 pagi dan tiba di tempat kejadian 20 minit kemudian.

Beliau memberitahu, seramai 22 anggota dan empat pegawai beserta tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang, Kuala Kubu Bahru dan Batu Arang bergegas ke tempat kejadian.

Kemalangan tersebut turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh lima kilometer dari tempat kejadian berikutan hanya satu lorong boleh digunakan.

source: http://www.utusan.com.my

0 Readers:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

GengCyber.com

Apesal.com

 

Copyright © 2010 HAIRIEcerulean